Thursday 1 February 2007

USFTA Malaysia = Malayan Union Abad Ke-21?

Suatu cabaran yang diterima oleh Gabungan Rakyat Pemantau USFTA-Malaysia dari para pemimpin pelajar Malaysia di UK adalah untuk menjelaskan kenapakah USFTA atau Perjanjian Perdagangan Bebas dengan US ini dikatakan seakan-akan ancaman Malayan Union yang ditentang oleh nenek-moyang kita dahulu. Izinkan kami menjelaskan sedikit hujah di sebalik pendapat ini.

Pada zaman kemenangan sistem kapitalis Barat ini, sistem kapitalis ini sendiri menjadi senjata utama dalam usaha membelenggu negara-bangsa lain di dunia. Amalan ini mungkin tidak didukung oleh semua negara Barat, tetapi Amerika Syarikat, sebagai kuasa besar utama di dunia sekarang dari segi ketenteraan, mahupun saiz ekonominya, tetap mengamalkan penjajahan kapitalisma, atau Colonial Capitalism.

Namun, penggunaan kekuatan ekonomi dan perdagangan sebagai senjata bukanlah amalan baru. Seawal kurun ke 16 sekalipun, para penjajah Portugis telah menjelajah ke India dan Asia Tenggara dengan laungan God, Gold and Glory, atau Tuhan, Emas dan Keagungan. Usaha mereka berdasarkan kehendak untuk menggoncang kekuatan ekonomi para saudagar Islam di laut Mediteranian pada masa itu yang berupaya menyekat usaha penjajahan negara-negara Islam oleh kuasa-kuasa Eropah. Mereka diikuti kelak oleh penjajah Belanda, Sepanyol, Perancis dan Inggeris.

Pada zaman Rasulullah S.A.W. sendiri, sektor ekonomi merupakan tumpuan baginda sejurus selepas membangunkan Masjid di Madinah. Baginda berusaha membuka jalan aktiviti perniagaan oleh pengikut-pengikutnya, dan membebaskan masyarakat dari belenggu riba para pemiutang yang lazimnya dari golongan Yahudi. Malah, kemajuan Madinah sebagai pusat perniagaan yang kian bersaing dengan Mekahlah antara sebab tercetusnya perang Badar di antara masyarakat Islam Madinah dengan Kaum Quraish Mekah.

Merujuk kepada buku The Principles Of Islamic Economic System oleh Yusuf Kamal, jelas dalam Islam bahawa aktiviti ekonomi tidaklah dilakukan secara 'bebas', tetapi haruslah menurut garis-panduan agama. Menurut prinsip Islam, sistem ekonomi haruslah memberikan manfaat kepada seluruh pelusuk masyarakat dan melindungi dari ketidak-seimbangan ekonomi. Ini kerana kemakmuran sejagatlah jalan cara memastikan seluruh masyarakat berupaya menunaikan tanggungjawab agama tanpa dibelenggu oleh kesempitan hidup.

Maka, Islam tidak membolehkan sistem ekonomi yang menyebabkan kepapaan sesuatu golongan masyarakat. Antara lain, ini kerana:
  1. Golongan yang tersepit di jurang kemiskinan mungkin tiada masa dan tenaga untuk menunaikan ibadah asas sekalipun, seperti sembahyang, kerana hidup kais pagi-malam yang tidak berkesudahan.
  2. Golongan tersebut juga mungkin terpaksa melakukan perkara yang berdosa seperti pencurian, pelacuran, mahupun pembunuhan, sekiranya dibiar tersepit, dan ini mungkin juga akan menghindar masyarakat secara amnya dari melakukan ibadah sebanyak yang mungkin.

Berdasarkan prinsip mudah dan indah ini sahaja, konsep USFTA-Malaysia, yakni perjanjian perdagangan bebas tidaklah sesuai menurut lunas-lunas Islam dari segi prakatanya sekalipun. Dari segi intipati, ia juga menimbulkan kebimbangan, kerana beberapa fakta sejarah dan perundangan tentang kesan USFTA ini. Antara lain:

  1. Ia memberi kebebasan bagi syarikat US untuk melakukan aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia secara bebas seakan-akan syarikat tempatan. Ini memberi kelebihan besar kepada syarikat US, kerana syarikat-syarikat gergasi mereka lazimnya berupaya menindih-lumatkan syarikat-syarikat tempatan, baik yang kerdil mahupun yang besar oleh kerana kekuatan kewangan dan sokongan syarikat induk mereka yang berpaut kepada pasaran besar di US.
  2. Walaupun syarikat-syarikat US mungkin kemudian perupaya mengambil tempat syarikat tempatan yang sudah ditewaskan, bagi meraih keuntungan, pastinya syarikat-syarikat US tersebut akan bertindak mengurangkan kos dari segi jumlah pekerja, mengurangkan gaji, pemindahan aktiviti seperti pembuatan, akaun dan sebagainya ke negara yang kosnya lebih rendah dan kemungkinan sekali menaikkan harga barangan sesudah kesemua saingan tempatan berjaya ditewaskan.
  3. Hasil dari penguasaan ekonomi oleh syarikat US ini mungkin termasuk penurunan harga barang. Tetapi, pada masa yang sama, kadar pengangguran juga akan meningkat hasil pengurangan jumlah pekerja dari sektor yang diambil alih oleh syarikat US tersebut. Ini mungkin memberi keuntungan kepada majoriti rakyat, tetapi ia tidak memastikan atau mengesyorkan akan berlaku keadilan ekonomi sejagat seperti dituntut Islam. Di negara-negar Amerika Selatan, terlihat jurang miskin-kaya mendadak meluas selepas USFTA.
  4. Pada peringkat yang paling ekstrim sekali, syarikat US juga berupaya meninggalkan Malaysia dan menarik balik segala pelaburannya dengan lebih bebas pada bila-bila masa menurut prinsip perdagangan bebas. Ini mungkin tidak berapa berkesan pada peringkat awal, tetapi lambat-laun, sekiranya USFTA membenarkan syarikat US menguasai sektor-sektor penting ekonomi sehingga tiada syarikat tempatan yang kekal dalam sektor-sektor tersebut, apakah akan berlaku sekiranya syarikat US mengambil keputusan untuk 'gulung tikar' di Malaysia dengan sewenang-wenangnya? Siapakah akan mengisi lubang di sektor tersebut bukan sahaja dari segi pembuatan keperluan tersebut, tetapi juga dari segi memberi pekerjaan dan sumber pusingan wang dan pembangunan ekonomi negara?

Turutan kejadian yang digambarkan di atas mungkin kelihatan sebagai usaha menakut-nakutkan masyarakat, tetapi, yang lebih menakutkan adalah bagaimana apa yang digambarkan diatas pernah dan masih terjadi di negara-negara lain yang sudah pun memetrai USFTA mereka! Ini bukan sahaja berlaku di negara membangun seperti di Mexico dan negara-negara Amerika Selatan, tetapi teman intim Amerika Syarikat, Australia juga tertindas! Dialih-bahasa dari http://www.bilaterals.org/IMG/pdf/Overview.pdf:

"USFTA memaksa Australia memberi monopoli hakcipta yang lebih kuat kepada syarikat perubatan Amerika Syarikat, secara langsung menjejaskan Skim Keruntukan Perubatan Australia (PBS).... Setahun selepas FTA berjalan, perdebatan hebat berlaku di Australia kerana kesannya. Statistik menunjukkan barangan impot US ke Australia sudah melambung naik, akan tetapi barangan ekspot Australia ke US turun menjunam. Tambahan pula, walaupun satu pertiga syarikat pembuatan ubat "generic" (lupus hakcipta) Australia sudah ditutup selepas USFTA, syarikat perubatan US masih tidak senang dengan undang-undang yang masih melindungi Skim Keruntukan Perubatan (PBS) dan bergerak untuk menghapuskannya sama sekali!"

Jika Amerika Syarikat berupaya berlaku secara kejam terhadap rakyat teman intimnya, Australia, dengan dasar USFTA yang kian mengurangkan kemudahan untuk masyarakat termiskin, apakah mungkin mereka akan was-was untuk bertindak sedemikian terhadap masyarakat Malaysia selesai USFTA dimulakan?

Dokumen yang sama juga memberi penjelasan bagaimana Amerika Syarikat secara terbuka mengejar USFTA dengan niat mengunci dasar luar dan politik negara-negara tertentu di arena antarabangsa. Contohnya, usaha USFTA di Timur Tengah dengan jelas bertujuan:

  1. Menambahkan pengaruh Amerika Syarikat dalam peperangan mereka "menentang ekstrimis"
  2. Menghalang usaha "Arab League" penentang perbuatan rejim Israel

Maka, USFTA bukan sahaja membuka jalan terhadap penindasan ekonomi, tetapi jelas membuka jalan ke arah penjajahan dasar luar dan politik Malaysia oleh Amerika Syarikat, yang dalam sejarah FTA-nya jelas menyelit niat tersirat di sebalik perjanjian-perjanjian dua-halanya. Memandangkan sistem ekonomi adalah antara penentu masa-depan bangsa, USFTA sebagai pembolos perlindungan ekonomi negara dari pengaruh langsung ekonomi US dengan sendiri membawa kebimbangan. Tetapi, dua fakta seperti digambarkan diatas jelas menambah kebimbangan:

  1. Amerika Syarikat dan syarikat-syarikatnya tiada rasa tanggungjawab terhadap masyarakat Malaysia dalam percaturan ekonomi mereka. Pada mereka, kita akan dilayan semata-mata sebagai pengilang atau pembeli, bukan rakan-kongsi, dan boleh dilumatkan sesuka hati.
  2. Amerika Syarikat lazimnya ada maksud tersirat untuk mempengaruhi dasar politik dan luar negara di sebalik USFTA-nya.

Bukankah seakan-akan Malayan Union kelihatannya USFTA ini, sebagai agen penjajahan ekonomi Malaysia oleh Amerika Syarikat? Cukupkah ini sebagai huraian untuk mengesyorkan pembaca yang USFTA harus dipantau, malah ditentang dari dilaksanakan?

Setidak-tidaknya, bukankah USFTA ini bertentangan dengan lunas-lunas dan prinsip ekonomi Islam kerana kebebasannya yang tidak menjamin keadilan ekonomi sejagat di dalam masyarakat?

2 comments:

Anonymous said...

hey are u in kl? or malaysia? will there be a BIGGER PROTEST?? we need more ppl to protest like in SEOUL!!!
this is serious man, the US FTA WILL KILL US!!!! only those MNCS etc ~ a small percentage will BENEFIT

Qc Fixer said...

Web Design Ipoh .QC Fixer Solutions is a digital marketing company, We offer a variety of services including branding, logo design, photo shooting, video shooting, content writing, SEO, social media management, company profile design and etc.