Friday 26 January 2007

Adakah Kerajaan Sudah Memastikan Kesedian Masyarakat, Terutama Di Luar Bandar, Mengahadapi Ancaman USFTA Ini?

Berikut adalah berdasarkan ulasan dari seorang Peg Risda yang telah dikupas sedikit.

Yang ingin dikupas di sini adalah, walaupun USFTA ini sudah keperingkat rundingan akhir (menurut firasat wakil US), di manakah bukti yang mengatakan yang usaha menangani kedatangannya sudah ditinjau secara menyeluruh oleh semua badan kerajaan yang semestinya perlu dijalankan. Contohnya:

  1. Adakah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mebuat tinjauan menyeluruh tentang kesan USFTA kepada hidup masyarakat termiskin?
  2. Sudahkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna mengkaji kesan USFTA dalam hal mengekalkan dasar harga barang terkawal (yang hal meningkatkan usaha membenteras cetak rompak tak kira lah, memang tanggungjawab sedia-ada)? Adakah subsidi minyak terpaksa dimansuhkan?
  3. Apakah kesan USFTA kepada dasar pemberian biasiswa kerajaan menerusi badan-badan kerajaan mahupun syarikat-syarikat milik/berhubung kerajaan (GLC)? Adakah usaha ini akan dipincangkan oleh pemberian kontrak sama-adil kepada syarikat US sekarang yang menjejaskan keuntungan GLC-GLC? Bersediakah Kementerian Kewangan?
  4. Bagaimana dengan usaha penswastaan bekalan air Malaysia. Adakah ini akan dipinda perlaksanaannya untuk membolehkan syarikat US turut serta? Adakah Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi sudah bersedia?
  5. Apakah mampu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menangani dan memantau kemasukan syarikat gergasi US ke dalam sektor perladangan dan jual-beli komoditi asas untuk pembangunan negara?
Ulasan asalnya adalah seperti berikut:

Di dalam Pengurusan Kewangan, telah dinyatakan terdapat dua jenis kumpulan risiko iaitu risiko yang sistematik dan risiko yang tidak bersistematik. Risiko yang sistematik ialah risiko-risiko yang tidak berada didalam kawalan kita seperti pasaran semasa, kehendak global, trend, masalah luar negara dan lain-lain. Risiko ini berlaku secara meluas melangkaui masa, sempadan negara dan tidak dapat disekat-sekat. Ia hanya.....BERLAKU!

Risiko yang tidak bersistematik pula ialah risiko yang berlaku secara individu, terasing, dapat dikawal jika difahami. Risiko ini seperti membeli mee di kedai sebagai contohnya. Apa pilihan yang kita ada?Adakah mee itu bersih buatannya? Berzatkah? Jika dimakan adakah ia memberi kesan kepada perut?

Tetapi sebenarnya, kita masih boleh mengawal pembelian kita dengan memilih kedai yang baik, merujuk buku untuk mengetahui kandungannya, menghantar ke makmal untuk ujian dan yang paling penting kita masih boleh memilih untuk membeli atau tidak!

Apa yang hendak disampaikan ialah, USFTA dikatakan akan bakal tiba ke Malaysia. Dalam konteks ini USFTA dibimbangi akan mempengaruhi atau menjejaskan petani yang mengusahakan padi serta pengeluaran makanan dalam negara. Dasar Pertanian Negara telah masuk peringkat yang ketiga (DPN3).

Sedar atau tidak 95% pengeluar makanan mentah dalam negara terdiri daripada petani-petani dan pekebun-pekebun kecil. Jika ditanya pekerjaan ibubapa kepada pelajar luar bandar di sebuah sekolah MRSM, SBP, Sekolah kebangsaan, Kolej dan Universiti pasti kita akan melihat sebahagian tangan-tangan yang diangkat ke atas ialah anak-anak petani. Yang lebih menyedihkan, Kaum Melayu Luar bandarlah yang banyak terlibat didalam sektor pertanian. Kenapa menyedihkan?

Tidak adakah Orang melayu yang berjaya?

Tidak dinafikan memang ada. Tapi lihat statistik mudah ini yang saya rumuskan daripada bancian terhadap pendapatan pekebun kecil luar bandar. Statistik ini diterimapakai didalam jabatan saya.

Sampel = 2263 orang Pekebun kecil pada tahun 2002
Miskin tegar = 688 =30%
Miskin = 1,111 =49%
Mudah Miskin = 464 =21%

untuk makluman,

Miskin tegar = RM 0 - 416
Miskin = RM 417 - 657
Mudah Miskin = RM 658 - 1200

Bermakna79% (Miskin tegar + Miskin) pekebun- pekebun kecil ini masih dibawah tahap kemiskinan! Apa yang dapat dilakukan dengan pendapatan RM150 sebulan hasil bekerja diladang? Bersekolahkah anak-anak mereka? Apa yang mereka makan setiap hari? Bagaimana mereka membeli pakaian? Pernahkah mereka masuk ke KFC, PIZZA HUT?

Selesakah kehidupan mereka setiap hari?

Maka benarlah isu hanya 18% sahaja ekonomi negara ditangan orang Melayu walaupun negara telah merdeka hampir 50 tahun yang lalu dan RMK telah masuk yang ke-9!

Kemaskini telah dibuat, dan kelihatan telah ada peningkatan. Statistik terbaru belum disahkan lagi. Tetapi seperti kata sesetengah orang, kuantiti satu hal, kualiti satu hal. Adakah peningkatan ini boleh dikekalkan ke tahun 2020?

Pada waktu itu negara kita dijangka menjadi negara Maju. Bukan setakat USFTA padiberas, segala macam USFTA lagi akan masuk ke Malaysia ini. Bersediakah kita?

Apapun, baguslah ada pihak yang membela nasib petani dan ada pihak yang membantu petani. Tapi ingatlah, purata umur petani luar bandar ialah melebihi 50 tahun dan ada yang telah menjangkau 70 tahun!

Mungkin mereka tidak sempat merasa kesan baikburuk USFTA. Tetapi ingat, di mana kita sekarang? Jika dipanjangkan umur oleh-Nya, saya akan berusia 40 tahun pada tahun 2020. Anak saya yang sulung baru berusia 14 tahun pada tahun tersebut. Oleh itu, Saya mencadangkan, selain merasa bimbang terhadap perubahan, kita perlu berusaha untuk menangani perubahan. Yang mana ada kekuatan dan kemampuan, menyumbanglah untuk agama, bangsa dan negara. Bersatulah. Dengan itu masuklah segala macam USTFA pun, kita akan boleh menghadapinya.

No comments: