Wednesday 10 January 2007

PETANI, NELAYAN, MASYARAKAT LUAR BANDAR DAN WAKIL BADAN BUKAN KERAJAAN MEMINTA RUNDINGAN USFTA DIHENTIKAN SEGERA

JAWATANKUASA BERTINDAK MEMBANTAH US FTA (WILAYAH UTARA)d/a 21, Lintang Delima 15, 11700 P.PinangTel ; (6) 04 6596930 Fax ; (6) 04 6596 931 Email ; zamashari@yahoo.com

KENYATAAN MEDIA
10 Januari 2007

PETANI, NELAYAN, MASYARAKAT LUAR BANDAR DAN WAKIL BADAN BUKAN KERAJAAN MEMINTA RUNDINGAN USFTA DIHENTIKAN SEGERA

Kami wakil petani, nelayan, masyarakat luar bandar dan wakil-wakil NGO wilayah utara mengambil maklum bahawa kerajaan Malaysia dan USA akan mengadakan rundingan perjanjian perdagangan bebas kali ke empat di San Francisco minggu ini.

Kami juga sedia maklum bahawa kerajaan US bercadang untuk mengeksport lebih banyak produk pertanian mereka ke Malaysia seperti padi, kacang soya, ayam dan daging. Buletin MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) pada 13.11.2006 menyatakan bahawa “ke dua – dua belah pihak sekarang ini sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan semua bentuk percukaian” yang bermaksud kerajaan akan mempertimbangkan utuk cukai hasil pertanian US untuk dikurangkan sehingga sifar.

Jika cukai ini di kurangkan di bawah USFTA, beras Amerika yang disokong oleh subsidi yang tinggi oleh kerajaan Amerika akan dapat dijual di pasaran Malaysia pada harga 25% di bawah kos pengeluaran.

Kita juga di maklumkan bahawa cukai beras Malaysia kini adalah pada 40% dan akan turun kepada 20% pada tahun 2010 dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Pakar ekonomi telah menyatakan bahawa sukar pengusaha beras di Malaysia untuk bersaing di bawah AFTA pada kadar cukai 20%. Jika cukai beras jatuh kepada sifar atas desakan US dalam USFTA ini, para petani di Malaysia pastinya tidak akan dapat bersaing beras subsidi US yang di import ini.

Sejumlah 296,000 petani di Malaysia bergantung kepada pertanian padi sebagai sumber rezeki, dengan sejumlah 116,000 petani bergantung hanya semata-mata pada pertanian padi tanpa terlibat dengan kegiatan ekonomi sampingan, di Malaysia pada hari ini. Sektor beras di Malaysia kini adalah dikawal bagi memastikan keselamatan hasil sumber makanan dan perlindungan kepada penduduk luar bandar. Lanjutan daripada itu dalam RMK9, kerajaan telah menetapkan bahawa hasil beras negara perlu mencapai sasaran 90% pada tahun 2010 (dari 72% dalam tahun 2005).

Walaupun surat kepada Kementerian Pertanian telah di hantar tetapi kami masih lagi kabur tentang kedudukan kementerian ini dalam memastikan kadar pengeluaran domestik sektor beras malaysia dan perlindungan kepada para petani memandangkan permintaan US di dalam USFTA untuk harga cukai padi turun hingga sifar .

Kita dapati bahawa para petani di negara-negara lain yang telah termasuk dalam Perjanjian-perjanjian Perdagangan Bebas dengan US telah hidup menderita dan kehilangan mata pencarian , seperti mana yang berlaku di Mexico di mana hampir 2 juta orang petani telah kehilangan tanah-tanah mereka, dan 8 dari setiap 10 orang petani hidup dalam kemiskinan, kesan daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara.

Adalah tidak mungkin untuk petani Malaysia untuk mengeksport lebih ke US kerana pasaran produk US dilindungi oleh cukai-cukai yang mana Perwakilan Perdangan US (USTR) tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian (konsesi) ke atasnya dan pengurangan subsidi yang tidak menguntungkan US.

Dalam pemerhatian kami, USFTA bukan sahaja memberi kesan dalam bidang perdagangan tetapi juga implikasi kepada mata pencarian dan kehidupan kami semua Rakyat Malaysia terutama masyarakat desa yang dijangka menerima kesan yang teruk. Sebagai contoh, syarat – syarat harta intelektual lebih kukuh bermakna:
  • bahan kimia pertanian yang digunakan oleh petani-petani berkemungkinan menjadi lebih mahal;
  • kos sara hidup mungkin naik kerana barang-barang contohnya ubat-ubatan adalah diramalkan menjadi lebih mahal;
  • kos pendidikan dan buku-buku mungkin meningkatkan.
Produk hasil desa juga tidak akan dapat dilindungi dan insentif kepada usahawan kecil desa boleh dilihat sebagai Halangan Bukan Cukai dalam USFTA ini.

Kami sangat bimbang jika Kerajaan Malaysia tidak membuat penilitian mendalam terutama pada kajian kos – faedah sebelum menerima USFTA dan apabila perundingan terbabit diadakan secara tertutup, tiada sebarang maklumat didedahkan pada awam dan tidak berlaku sebarang perbincangan telus dengan para petani.

Kami menggesa semua pihak dan kerajaan Malaysia untuk menghentikan rundingan lanjut di USFTA sehingga kita mengetahui bagaimana kesannya pada petani-petani kita, keselamatan pengeluaran makanan Negara agar tidak dikompromikan dan kesannya pada masyarakat luar bandar.

Ia adalah tidak mencukupi dengan hanya memberi jaminan-jaminan. Kita perlu mengetahui samada kerajaan kita telah membuat satu penilaian kos – faedah yang terperinci bagi menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia akan mendapat faedah dan kepentingan-kepentingan para petani-petani tidak tekecuali.

Che Ani Mat Zain
Badan Bertindak Petani MADA

Md Saufi Hj Zakaria
Badan Bertindak Petani Kedah

Aziz B Man
Muafakat Warga Desa

Alis Yusuf
Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Semenanjung

M Nizam Mahshar
SAhabat Alam Malaysia (SAM)
Wakil NGO Membantah US FTA wilayah Utara

Amiruddin Hamzah
Lanjah Petani, Nelayan dan Pekerja

No comments: