Tuesday 16 January 2007

USFTA-Malaysia Bakal Memincangkan Usaha Strategik Membangunkan Industri Asas-Tani?

(Berasaskan pendapat yang dipanjangkan dari forum Prowaris: http://groups.yahoo.com/group/prowaris/)

Perlu dipersoalkan sama ada pegawai-pegawai MITI dan Wisma Putra yang merundingkan FTA dengan para wakil Amerika Syarikat (AS) sudah lupa akan dosa AS melepaskan stok penimbal minyak kelapa sawit dan kempen anti-kelapa sawit terhadap Malaysia tidak berapa lama dulu. Ianya telah memberikan tekanan teruk dan menjejaskan eksport komoditi Malaysia yang sangat penting itu, mejejaskan secara langsung pendapatan kaum pekebun kecil, peneroka mahupun para perkerja syarikat-syarikat perladangan Malaysia.

Adakah sekarang Malaysia sudah bersedia mengampunkan dosa ini dan mempercayai akan keikhlasan AS untuk "bersaing secara terbuka", memandangkan juga yang mereka merupakan ekonomi yang paling besar dan antara terkuat di dunia?

Bagaimana agenda usahawan Malaysia, yang masih belum berjaya dibangunkan lagi oleh pelbagai agensi. Adakah usaha membantu akan dihentikan, kerana alasan-alasan remeh temeh yang lain pula? Bukankah sebenarnya USFTA akan mengikat kerajaan dari terus membantu usahawan tersebut bersaing dengan usahawan AS kelak? Bukankah usahawan Melayu kelak dipinggirkan seolah-olah nelayan akan mengharungi Tsunami USFTA dengan berbekalkan sampan yang kecil sahaja.

Bagaimana dengan aspirasi Tun Dr Mahathir untuk bangunkan industri pertanian negara yang kini dipanjangkan oleh Pak Lah termasuk perancangan strategik untuk industri tersebut dimajukan.

Untuk menjayakan cita-cita ini, negara perlu memperkukuhkan asas-asas utama kejayaannya iaitu:

  1. Logistik
  2. Pemasaran diperingkat global
  3. Pengetahuan mengendalikan bahan mudah rosak (perishable goods)

Dengan diberikan usaha integrasi logistik, seperti landasan berkembar utara-selatan, hub kargo Senai dan PTP, kepada suatu kumpulan perniagaan tempatan yang telah membuktikan keupayaannya, keseluruhan sistem logistik berintegrasi mungkin berjaya diujudkan dan pengangkutan bahan-bahan pertanian yang lancar kelak membolehkan industri asas-tani dibangunkan.

Tetapi sekarang landasan berkembar sudah dibatalkan. Adakah dengan perjanjian USFTA ini akan kekal atau binasa keupayaan kerajaan Malaysia:

  1. Untuk memberi kontrak pemulihan atau pembinaan infrastruktur bertujuan memantapkan ekonomi negara kepada syarikat tempatan yang lebih setia kepada agenda negara dari syarikat AS yang mungkin lebih murah, tetapi jelas akan lebih setia kepada agenda AS?
  2. Untuk membangunkan infrastruktur dengan ciri-ciri yang khusus dibangunkan dengan niat memajukan kawasan pendalaman dan industri-industri asas negara? USFTA akan memberi jalan cara supaya infrastruktur dibangunkan lebih untuk kepentingan perniagaan AS.
  3. Untuk membangunkan usahawan sama sekali secara langsung sepertimana sekarang, menerusi pelbagai agensi? Atau adakah USFTA akan memaksa kerajaan memberi hak pembangunan usahawan yang sama kepada usahawan-usahawan dari AS!

Ini adalah persoalan-persoalan penting yang perlu ditimbang oleh wakil-wakil Malaysia dalam perundingan USFTA ini. Kiranya jelas ini diketengahkan sebagai isu, nescaya perjanjian USFTA ini akan mampir kearah kegagalan dengan dipincangkan sedikit agenda tersirat AS untuk mendominasi ekonomi negara.

No comments: