Wednesday 24 January 2007

Ulasan Wakil Petani, Nelayan Dan Masyarakat Luar Bandar Terhadap Pengesyoran Dato' Seri Rafidah Aziz Tentang USFTA

JAWATANKUASA BERTINDAK MEMBANTAH US FTA (WILAYAH UTARA)
d/a 21, Lintang Delima 15, 11700 P.Pinang
Tel ; (6) 04 6596930 Fax ; (6) 04 6596 931 Email ; zamashari@yahoo.com
15 Januari 2007

Surat Kepada Pengarang

Penjelasan YB Dato’ Seri Rafidah Aziz berkenaan beras di USFTA di alu-alukan dan diharapkan isu-isu lain dalam US FTA dapat diperjelaskan kepada masyarakat Awam

Kami wakil petani, nelayan, pengguna, masyarakat luar bandar dan wakil-wakil NGO wilayah utara mengalu-alukan penjelasan YB Dato’ Seri Rafidah Aziz berkenaan isu beras di US FTA.

Walaubagaimanapun harus diperjelaskan bahawa permohonan berkenaan penjelasan ini bukan perkara baru kerana pelbagai pihak termasuk pihak jawatankuasa bertindak telah meminta pihak kerajaan lebih terbuka berkenaan perundingan US FTA bukan sahaja berkenaan isu beras tapi juga berkenaan isu-isu lain dalam perundingan USFTA kerana semuanya menyentuh kepentingan awam.

Walaubagaimana pun, jawatankuasa bertindak berhasrat meminta penjelasan daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tentang maklum balas US berhubung permintaan Malaysia untuk tidak memasukkan Beras dalam perundingan tersebut memandangkan perundingan masih ber-langsung dan tiada ketetapan yang jelas boleh dibuat sehingga perjanjian ditandatangani.

Dalam pemerhatian kami, USFTA bukan sahaja memberi kesan dalam bidang perdagangan tetapi juga memberi implikasi kepada mata pencarian dan kehidupan kami semua Rakyat Malaysia terutama masyarakat desa yang dijangka menerima kesan yang teruk. Sebagai contoh, syarat – syarat harta intelektual akan memberi kesan antara lain:

  • bahan kimia pertanian yang digunakan oleh petani-petani berkemungkinan menjadi lebih mahal;
  • kos sara hidup mungkin naik kerana barang-barang contohnya ubat-ubatan adalah diramalkan menjadi lebih mahal;
  • kos pendidikan dan buku-buku mungkin meningkatkan

Produk hasil desa juga tidak akan dapat dilindungi dan insentif kepada usahawan kecil desa boleh dilihat sebagai Halangan Bukan Cukai dalam USFTA ini.

Petani juga resah berhubung tekanan dari syarikat bioteknologi US melalui US FTA yang cuba melobi untuk membawa massuk barangan ubah suai genetik mereka ke Malaysia dimana kesan produk tersebut kepada kesihatan dan alam sekitar di pertikaikan dalam waktu yang sama ia mungkin meningkatkan kebergantungan petani kepada industri tersebut disamping meningkatkan kos pertanian.

Kami sangat bimbang bahawa Kerajaan Malaysia tidak membuat penelitian mendalam terutama pada kajian kos – faedah sebelum menandatangani USFTA dan apabila perundingan terbabit diadakan secara tertutup, tiada sebarang maklumat didedahkan pada awam dan tidak berlaku sebarang perbincangan telus dengan para petani dan masyarakat awam.

Kami menggesa semua pihak khususnya kerajaan Malaysia untuk menghentikan rundingan lanjut USFTA sehingga kita mengetahui bagaimana kesannya kepada petani, keselamatan pengeluaran makanan Negara dan kesannya kepada masyarakat terutamanya diluar bandar.

Ia adalah tidak mencukupi dengan hanya memberi jaminan-jaminan. Kita perlu didedahkan tentang kandungan sebenar perundingan terbabit dan mengetahui samada kerajaan kita telah membuat satu penilaian kos – faedah yang terperinci bagi menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia akan mendapat faedah yang sewajarnya.

Che Ani Mat Zain

Wakil Jawatankuasa Bertindak

1 comment:

Keris_Melayu said...

Ulasan Ini dari teman kawan sorang Peg Risda.

Di dalam Pengurusan Kewangan, telah dinyatakan terdapat dua jenis
kumpulan risiko iaitu risiko yang sistematik dan risiko yang tidak
bersistematik. Risiko yang sistematik ialah risiko-risiko yang tidak
berada didalam kawalan kita seperti pasaran semasa, kehendak global,
trend, masalah luar negara dan lain-lain.Risiko ini berlaku secara
meluas melangkaui masa, sempadan negara dan tidak dapat disekat-
sekat. Ia hanya.....BERLAKU! .

Risiko yang tidak bersistematik pula ialah risiko yang berlaku secara
individu, terasing, dapat dikawal jika difahami. Risiko ini seperti
membeli mee di kedai sebagai contohnya. Apa pilihan yang kita ada?
Adakah mee itu bersih buatannya?, berzatkah? jika dimakan adakah
memberi kesan kepada perut?. Tetapi sebenarnya, kita masih boleh
mengawal pembelian kita dengan memilih kedai yang baik, merujuk buku
untuk mengetahui kandungannya, menghantar ke makmal untuk ujian dan
yang paling penting kita masih boleh memilih untuk membeli atau
tidak!.

Apa yang hendak disampaikan ialah, USFTA akan tiba ke Malaysia.Dalam
konteks ini USFTA dibimbangi akan mempengaruhi/ menjejaskan petani
yang mengusahakan padi/pengeluaran makanan dalam negara.

Dasar Pertanian Negara telah masuk peringkat yang ketiga (DPN3).Sedar
atau tidak 95% pengeluar makanan mentah dalam negara terdiri daripada
petani-petani dan pekebun-pekebun kecil. Jika ditanya pekerjaan
ibubapa kepada pelajar luar bandar di sebuah sekolah MRSM, SBP,
Sekolah kebangsaan, Kolej dan Universiti pasti kita akan melihat
sebahagian tangan-tangan yang diangkat ke atas ialah anak-anak
petani.

Yang lebih menyedihkan, Kaum Melayu Luar bandarlah yang banyak
terlibat didalam sektor pertanian. Kenapa menyedihkan? . Tidak adakah
Orang melayu yang berjaya?. Tidak dinafikan memang ada. Tapi lihat
statistik mudah ini yang saya rumuskan daripada bancian terhadap
pendapatan pekebun kecil luar bandar.Statistik ini diterimapakai
didalam jabatan saya.

Sampel = 2263 orang Pekebun kecil pada tahun 2002

Miskin tegar = 688 =30%
miskin = 1,111 =49%
mudah miskin = 464 =21%

untuk makluman,

miskin tegar = RM 0 - 416
Miskin = RM 417 - 657
Mudah Miskin = RM 658 - 1200

Bermakna

79% (Miskin tegar + Miskin)pekebun- pekebun kecil ini masih dibawah
tahap kemiskinan!Apa yang dapat dilakukan dengan pendapatan RM150
sebulan hasil bekerja diladang? Bersekolahkah anak-anak mereka?Apa
yang mereka makan setiap hari? bagaimana mereka membeli pakaian?
Pernahkah mereka masuk ke KFC, PIZZA HUT?.Selesakah kehidupan mereka
setiap hari?.Maka benarlah isu hanya 18% sahaja ekonomi negara
DITANGAN orang Melayu WALAUPUN negara telah merdeka hampir 50 tahun
yang lalu dan RMK telah masuk yang ke-9!.

Kemaskini telah dibuat, dan kelihatan telah ada peningkatan.
Statistik terbaru belum disahkan lagi. Tetapi seperti kata sesetengah
orang, kuantiti satu hal, kualiti satu hal. Adakah peningkatan ini
boleh dikekalkan ke tahun 2020?.Pada waktu itu negara kita dijangka
menjadi negara Maju. Bukan setakat USFTA padiberas, segala macam
USFTA lagi akan masuk ke Malaysia ini.Bersediakah kita?.

Apapun, baguslah ada pihak yang membela nasib petani dan ada pihak
yang membantu petani.Tapi ingatlah, purata umur petani luar bandar
ialah melebihi 50 tahun dan ada yang telah menjangkau 70
tahun!!.Mungkin mereka tidak sempat merasa kesan baikburuk USFTA.TAPI
INGAT!!!dimana kita sekarang??? Jika dipanjangkan umur oleh-Nya, Saya
akan berusia 40 tahun pada tahun 2020. Anak saya yang sulung baru
berusia 14 tahun pada tahun tersebut.Oleh itu, Saya mencadangkan,
selain merasa bimbang terhadap perubahan, kita perlu berusaha untuk
menangani perubahan.Yang mana ada kekuatan dan kemampuan,
menyumbanglah untuk agama, bangsa dan negara.Bersatulah. Dengan itu
masuklah segala macam USTFA pun, kita akan boleh menghadapinya.